Pada zaman Rasulullah SAW, jika para sahabat yang mulia bermimpi, biasanya mereka akan mengadu dan menceritakannya kepada Baginda Rasulullah.
Suatu malam, seorang sahabat Nabi yang masih remaja bernama Abdullah bin Umar ra, pergi ke Masjid Nabawi. Dia membaca al-Quran sampai keletihan. Setelah lama membaca al-Quran, dia berasa mengantuk dan ingin tidur.
Seperti biasa, sebelum tidur dia akan menyucikan diri dengan cara berwuduk, kemudian barulah merebahkan badan kemudian berdoa.
"Bismika Allahumma ahya wa bismika amutu. Ya Allah! Dengan nama-Mu aku hidup dan dengan nama-Mu aku mati."
Demikianlah, Rasulullah SAW mengajarnya cara tidur yang baik. Sehingga, dalam tidur pun malaikat masih mencatatnya sebagai orang yang tidak lalai. Dengan menyucikan diri, roh orang yang tidur akan mendapat hikmah dan siraman doa para malaikat.
Dengan perlahan-lahan dia memejamkan mata. Abdullah bin Umar terus bertasbih menyebut nama Allah hingga akhirnya terlelap. Di dalam tidurnya yang nyenyak, dia bermimpi. Di dalam mimpinya itu, dia berjumpa dengan dua malaikat. Tanpa berkata apa-apa, dua malaikat itu memegang kedua tangannya dan membawanya ke neraka.
Dalam mimpinya itu, neraka itu bagaikan perigi yang menyalakan api berkobar-kobar. Luar biasa panasnya. Di dalam neraka itu, dia melihat orang-orang yang pernah dikenalinya. Mereka dipanggang dan menanggung seksa yang tiada bandingan pedihnya. Menyaksikan neraka yang mengerikan dan menakutkan itu, Abdullah bin Umar berdoa,
"A'uzubillahi minannaar! Aku berlindung kepada Allah dari api neraka".
Setelah itu, Abdullah bertemu dengan malaikat lain. Malaikat itu berkata, "Kau masih belum terselamat dari api neraka!"
Pagi harinya, Abdullah bin Umar menangis mengingatkan mimpi yang dialaminya. Lalu, dia pergi ke rumah Hafsah binti Umar, isteri Rasulullah SAW. Dia menceritakan tentang mimpinya itu dengan hati yang cemas. Setelah itu, Hafsah menemui Baginda Nabi dan menceritakan mimpi saudara kandungnya itu kepada Baginda.
Ketika itu juga Baginda bersabda, "Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah bin Umar jika dia hendak melakukan solat malam!"
Mendengar sabda Nabi itu, Hafsah bergembira. Dia terus menemui adiknya, Abdullah bin Umar dan berkata, "Nabi mengatakan bahawa kau adalah sebaik-baik lelaki jika kau mahu bersolat malam. Dalam mimpimu itu, malaikat yang terakhir kau temui itu mengatakan bahawa kau masih belum terselamat dari api neraka. Itu kerana kau tidak melakukan solat tahajud. Jika kau ingin selamat dari api neraka, dirikanlah solat tahajud setiap malam. Jangan kau sia-siakan waktu sepertiga malam; waktu di mana Allah SWT memanggil-manggil hamba-Nya; waktu ketika Allah mendengar doa hamba-Nya."
Sejak itu, Abdullah bin Umar tidak pernah meninggalkan solat tahajud hingga ke akhir hayatnya. Bahkan, seringkali dia menghabiskan waktu sepertiga malamnya untuk solat dan menangis di hadapan Allah SWT. Setiap kali mengingati mimpinya itu, dia menangis. Dia berdoa kepada Allah agar diselamatkan dari api neraka. Apalagi dia juga ingat sabda Baginda:
"Sesungguhnya, penghuni neraka yang paling ringan seksanya pada hari kiamat adalah seseorang yang diletakkan pada kedua tapak kakinya bara api yang membuatkan otaknya mendidih. Dia berasa tidak ada orang lain yang lebih berat seksanya daripada dia. Padahal, sesungguhnya seksa yang dia terima adalah yang paling ringan di dalam neraka".
Dia berusaha sekuat tenaga beribadah kepada Allah, mencari redha Allah, agar termasuk dalam golongan hamba-hamba-Nya yang terhindar dari seksa neraka dan memperoleh kemenangan syurga.
Akhirnya, dia boleh merasakan betapa nikmatnya solat tahajud. Betapa agung keutamaan solat tahajud. Tidak ada yang lebih indah dari saat-saat dia sujud dan menangis kepada Allah SWT pada malam hari.
~Teladan dari buku Ketika Cinta Berbuah Syurga: Kisah 25 ~
(Ketika Cinta Berbuah Syurga - Habiburrahman el Shirazy)
1 comment:
kelmarin pergi ceramah kat masjid pun Dr. (ustaz) tu ckp antara rahsia kebahagiaan ialah mendirikan sepertiga malam dengan solat tahajjud. consistantly. istiqamahly. Allah, doakan ye. sama2 kuat! hu
Post a Comment